fb fb fb fb fb

Pilih industri perikanan bantu tangani kekurangan benih ikan air tawar

Muhammad Hafizi Muhammad Suki, (baju merah) dan Mohammad Asiren Mohd Sharif, 41, (baju hitam)/Foto UPM

PUCHONG, 30 Januari –Menyedari kekurangan bekalan benih ikan air tawar selain minat mendalam dengan ikan air tawar sejak dari kecil; meyakinkan Muhammad Hafizi Muhammad Suki, 35 untuk nekad berhenti kerja dalam sektor kewangan seterusnya mendalami bidang perikanan secara serius.

Namun untuk memahami bidang itu secara lebih mendalam, apatah lagi untuk mengkomersialkan bidang baharu diceburi, Hafizi kemudian menyertai Program Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian (IPR INTAN@UPM), anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM)

Menurut Hafizi, dia memilih bidang perikanan sebagai kerjaya tetapnya kerana melihat industri ikan air tawar kurang dipelopori di Malaysia, khususnya benih ikan air tawar.

“Oleh kerana itu, saya memilih untuk menyertai program IPR INTAN@UPM di Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian, Ladang Pusat Pertanian Putra, Puchong bagi mempelajari teori dan juga taktikal.

“Di sini, pensyarah dan penyelidik UPM banyak mengajar saya untuk menggunakan teknologi dan cara penternakan ikan dengan betul seterusnya menghasilkan benih ikan berkualiti tinggi”, katanya menerusi kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM.

Selain itu menurut Hafizi menerusi program sama, beliau memperoleh banyak ilmu untuk menguruskan kolam ikan berskala besar selain belajar menjadi seorang usahawan perikanan yang berjaya.

Hasratnya selepas sahaja tamat program IPR INTAN @UPM bagi modul ternakan akuakultur selama setahun setengah, cita-citanya untuk menjadi seorang pembekal benih ikan air tawar berkualiti tinggi di Malaysia dapat direalisasikan.

“Ini kerana di Malaysia, penternak ikan air tawar itu ramai, namun pembekal benih ikan sangat kurang,” jelasnya.

3001 AIR TAWAR UPM1
Peserta Program IPR INTAN @UPM di Pusat Kecemerlangan Industri Pertanian, Ladang Pusat Pertanian Putra, Puchong/Foto UPM

IPR INTAN @UPM antara program yang menyokong inisiatif Kementerian Ekonomi menerusi IPR INTAN dalam meningkatkan pendapatan B40 melalui pertanian dengan anggaran pendapatan tambahan RM2000.00 sebulan.

Menerusi program itu, para peserta akan diberi peluang untuk mengusahakan ladang tanaman atau akuakultur secara komersial dengan menggunakan teknologi terkini selain belajar untuk membina asas kewangan lestari.

Pihak UPM akan memberi sokongan termasuk pemantauan sekali gus membantu peserta memajukan bidang diceburi.

Program memenuhi pelan Strategi UPM iaitu memperteguh sumbangan pertanian disamping memperkasa mahasiswa; sejajar dengan teras strategi Dasar Agromakanan Negara 2.0 iaitu permodenan pertanian, peningkatan hasil pengeluaran, pembangunan bakat, amalan pertanian mampan dan ekosistem pertanian kondusif.

Sementara itu, seorang lagi peserta Program IPR INTAN @UPM, Mohammad Asiren Mohd Sharif, 41 turut berkongsi pengalaman, terpaksa menanggung kerugian besar selepas menguruskan kolam ikan sendiri di Melaka, tanpa ilmu berkaitan.

Katanya, peluang disediakan Kementerian Ekonomi menerusi IPR INTAN telah membuka mata untuk belajar ilmu berkaitan dan merasakan amat rugi sekiranya tidak mengambil peluang yang ada di depan mata ini.

“Saya nampak potensi industri akuakultur ini. Dengan ilmu yang diperoleh, saya akan membantu usahawan-usahawan bidang perikanan dengan kaedah yang lebih bagus seperti yang dipelajari di UPM.

“Tidak semua perkara boleh diperoleh dalam Youtube, kita perlu mencari ilmu ini dengan pakar dalam bidang ini demi menghasilkan lebih banyak produktiviti ikan air tawar di Malaysia,” ujarnya.

MAT YUNUS BIN SABRI