KUALA LUMPUR, 2 Februari - Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik keputusan kerajaan yang terus komited menyelesaikan isu bekalan dan pengeluaran makanan khususnya bagi ayam dan telur.
Menurut Presidennya, Datuk Ameer Ali Mydin; pihaknya turut menzahirkan penghargaan di atas keputusan membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP).
Ia termasuk pembukaan AP kepada pengusaha-pengusaha pasar raya besar.
Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan Kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera.
Kesungguhan yang ditunjukkan pentadbiran Perdana Menteri jelas menyatakan keseriusan menangani isu kenaikan harga barangan yang sedang berlaku di peringkat global.