KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1447H/2026M melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 3 November ini.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun dalam satu kenyataan memaklumkan TH membuka proses rayuan haji lebih awal bagi memberikan kemudahan kepada bakal jemaah untuk membuat persediaan yang lebih rapi serta memastikan proses permohonan rayuan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau menegaskan TH sentiasa komited dalam meletakkan kepentingan dan kebajikan bakal jemaah sebagai keutamaan.
Tambahnya, terdapat beberapa kriteria yang akan diambil kira bagi proses pertimbangan merit pemohonan antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di dalam akaun TH dan kekerapan permohonan rayuan serta pernah mengikuti Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH.
Permohonan rayuan mengerjakan haji terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 manakala kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh, iaitu 33,300 bagi musim haji 1447H/2026M selaras dengan konsep istitoah (kemampuan).
TH akan memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji untuk musim haji 1447H/2026M.
Para pendeposit TH boleh mendapatkan maklumat proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my.