
KUALA LUMPUR, 16 November -Permohonan maaf Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, secara terbuka berhubung isu jerebu rentas sempadan dijangka membuka ruang kerjasama lebih erat antara negara ASEAN bagi menangani masalah berkenaan pada masa hadapan.
- Keterbukaan pemimpin membuka peluang kerjasama ASEAN untuk membantu Indonesia menangani isu jerebu.
- Penganalisis anggap ini permulaan baik yang boleh mempercepat sokongan serantau pada masa hadapan.
- Negara serantau diperlukan untuk menangani jerebu berlarutan empat hingga lima bulan yang sepatutnya dielakkan.
Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan, berkata keterbukaan itu penting bagi membolehkan negara ASEAN tampil membantu Indonesia, terutama ketika negara berkenaan berdepan tekanan politik domestik dalam melaksanakan tindakan tertentu.
“Ini satu permulaan yang baik kerana Prabowo membuat permohonan maaf secara terbuka, bukan saja di hadapan pemimpin Malaysia dan Singapura, tetapi juga semua pemimpin negara ASEAN.
“Jadi, harapannya adalah sikap keterbukaan ini akan membuka peluang lebih luas supaya negara ASEAN memberi sokongan kepada Indonesia.
“Walaupun mungkin dah terlambat, tetapi mungkin pada masa-masa hadapan keterbukaan ini akan membolehkan negara ASEAN membantu Indonesia dengan lebih pantas dan cepat,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau berkata, sokongan dan bantuan negara serantau amat diperlukan bagi menangani masalah jerebu yang berlarutan sehingga empat hingga lima bulan, sedangkan keadaan itu sepatutnya dapat dielakkan.