
KUALA LUMPUR, 16 November -ASEAN perlu memanfaatkan perkembangan diplomatik susulan permohonan maaf Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dengan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan isu jerebu rentas sempadan tidak terus berulang.
- Permohonan maaf Presiden dilihat langkah diplomatik positif dan mencerminkan kematangan kepimpinan Indonesia.
- Kesediaan Indonesia ambil tindakan terhadap syarikat pembakaran hutan dianggap perkembangan positif.
- Malaysia dan Singapura digalakkan sambut baik permohonan maaf serta gunakan ruang diplomatik perkukuh kerjasama serantau.
- ASEAN perlu lebih proaktif melalui pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata permohonan maaf itu perlu dilihat sebagai ruang untuk memperkemas kerjasama serantau, khususnya dalam menangani kegiatan pembakaran hutan yang menjejaskan negara jiran.
“Pada pandangan saya, permohonan maaf oleh Presiden Prabowo merupakan satu langkah diplomatik yang positif dan memperlihatkan kematangan kepimpinan Indonesia dalam menjaga hubungan baik dengan negara-negara jiran, khususnya Malaysia dan Singapura,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau berkata, kesediaan Indonesia mengambil tindakan terhadap syarikat yang terbabit dalam pembakaran hutan turut menjadi perkembangan positif dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, Malaysia dan Singapura perlu menyambut baik permohonan maaf itu, namun pada masa sama memanfaatkan ruang diplomatik berkenaan untuk memperkukuh kerjasama serantau.
“ASEAN perlu memainkan peranan lebih proaktif melalui mekanisme pemantauan, penguatkuasaan dan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan,” katanya.