
IPOH, 16 November – Daerah Manjung kini menjadi kawasan terbaharu dilanda banjir di Perak apabila seramai 50 penduduk daripada 14 keluarga ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai yang dibuka hari ini.
- Empat daerah di Perak dilaporkan terjejas akibat banjir.
- Sebanyak 11 PPS dibuka, menempatkan 412 keluarga setakat pukul 5 petang.
- Larut Matang dan Selama catat jumlah penduduk terjejas tertinggi, 897 orang.
- Kerian: Dewan Serbaguna Gunung Semanggol menempatkan 53 penduduk, dan 12 mangsa tanah runtuh masih di PPS Bukit Merah.
Situasi berkenaan menjadikan empat daerah di negeri tersebut terjejas akibat banjir.
Menurut maklumat di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 5 petang tadi, sebanyak 11 PPS dibuka di negeri terbabit dengan 412 keluarga ditempatkan di PPS.
Daerah Larut Matang dan Selama kekal mencatat jumlah penduduk tertinggi iaitu 897 orang, diikuti Hilir Perak dengan 151 penduduk terjejas.
Sementara itu, di Kerian, Dewan Serbaguna Gunung Semanggol mula beroperasi dengan menempatkan 53 penduduk daripada 20 keluarga.
Dalam perkembangan berasingan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, seramai 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Merah, Kerian.