
KUALA LUMPUR, 16 November –Kepesatan pembangunan pusat data dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap tenaga elektrik, sekali gus menuntut negara ASEAN memperkukuh jaringan bekalan tenaga serantau bagi menjamin keselamatan dan kestabilan bekalan dalam jangka panjang.
- ASEAN Power Grid perlu diperkukuh sebagai agenda strategik untuk keselamatan dan kestabilan bekalan tenaga serantau.
- Negara anggota mesti mempelbagaikan sumber tenaga dan tingkatkan daya tahan sistem berikutan ketidaktentuan bekalan bahan api global.
- Sarawak berpotensi menjadi pembekal tenaga rendah karbon menerusi hidro dan projek sambungan elektrik rentas sempadan.
- Malaysia sokong integrasi tenaga diketuai ASEAN, kekal terbuka kepada pelaburan tetapi utamakan kepentingan nasional dan NETR.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketidaktentuan bekalan bahan api global, termasuk gangguan di laluan strategik Selat Hormuz, turut memperlihatkan keperluan negara anggota mempelbagaikan sumber tenaga serta memperkukuh daya tahan sistem bekalan masing-masing.
Menurutnya, ASEAN Power Grid bukan lagi sekadar projek teknikal atau komersial, sebaliknya menjadi agenda strategik yang mampu memperkukuh hubungan dan keselamatan tenaga serantau.
“Oleh itu, apabila dua negara dihubungkan melalui talian penghantaran elektrik, hubungan itu akan kekal selagi talian tersebut beroperasi. Bekalan elektrik mengikat hubungan antara negara jiran dengan lebih erat dan untuk tempoh yang lebih panjang berbanding minyak.
Justeru, ASEAN Power Grid bukan lagi sekadar projek teknikal atau komersial, sebaliknya merupakan satu agenda strategik,” beliau berucap ketika menyampaikan ucaptama pada Forum ASEAN Power Grid di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, di sini.
Katanya, setiap komitmen bekalan elektrik kepada pelaburan baharu perlu mengambil kira keperluan isi rumah, sektor perindustrian dan sumber air negara bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak menjejaskan keterjaminan bekalan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadillah berkata, Sarawak berpotensi memainkan peranan penting sebagai pembekal tenaga elektrik rendah karbon di rantau ini, dengan tenaga hidro menyumbang kira-kira 60 peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik terpasangnya.
“Cadangan projek sambungan elektrik Sarawak-Singapura berkapasiti satu gigawatt telah menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura, dengan operasi komersial dijangka sekitar 2035, tertakluk kepada kelulusan berkaitan,”jelasnya.
Mengulas lanjut berkaitan hala tuju kerjasama tenaga serantau, beliau menegaskan Malaysia memilih pendekatan integrasi yang diterajui ASEAN, berlandaskan prinsip konsensus dan penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota.
“Malaysia akan terus menerima pelaburan daripada pelbagai rakan antarabangsa mengikut terma negara sendiri, berpandukan kepentingan nasional tanpa terheret dalam persaingan kuasa lain,”katanya lagi.
Katanya, Malaysia akan terus memperkukuh agenda peralihan tenaga domestik menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk meningkatkan keupayaan grid, memperluas penyimpanan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu.