
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Majoriti perniagaan di negara ini dilihat masih berdaya tahan dengan jumlah permohonan bantuan kewangan kekal rendah meskipun berdepan ketidaktentuan global.
- Bank Negara dan institusi perbankan mengambil pendekatan proaktif meningkatkan kesedaran pelanggan mengenai bantuan kewangan.
- Kerjasama erat antara kerajaan, institusi perbankan dan komuniti perniagaan diperlukan untuk kurangkan kesan ketidaktentuan geopolitik.
- BNM memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) khusus bagi menyokong PKS terkesan konflik di Asia Barat.
- Kemudahan itu membantu PKS menangani tekanan aliran tunai dan keperluan modal kerja supaya operasi dapat diteruskan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hanya 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman bank direkodkan sebagai pinjaman perniagaan yang baharu dijadualkan semula bagi suku pertama tahun ini.
“Berdasarkan libat urus kami dengan pihak bank, mereka belum melihat jumlah permintaan yang tinggi. Malah, apabila pihak bank mendekati perniagaan, ada yang merasakan mereka belum memerlukan bantuan itu pada ketika ini, walaupun mungkin akan memerlukannya kemudian, namun sekurang-kurangnya mereka mengetahui bahawa kemudahan itu ada.
“Kami sedang memantau angka ini dan mempunyai beberapa data. Saya rasa pinjaman-pinjaman perniagaan yang baharu dijadualkan semula pada suku pertama hanya sekitar 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman bank,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, institusi perbankan kini mengambil pendekatan proaktif bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelanggan perniagaan dan pengguna mengenai bantuan kewangan yang disediakan susulan krisis di Asia Barat.
Kerjasama erat antara kerajaan dengan institusi perbankan dan komuniti perniagaan juga diperlukan bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan geopolitik terhadap ekonomi dalam negara.
Sehubungan itu, BNM memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) yang mula dibuka untuk permohonan hari ini, khususnya bagi menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat perkembangan konflik geopolitik di Asia Barat.
Kemudahan itu diwujudkan untuk membantu PKS serta perniagaan yang berdepan tekanan terhadap aliran tunai dan keperluan modal kerja, supaya mereka dapat meneruskan operasi seperti biasa.