
KUALA LUMPUR, 20 September – Langkah kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan dilihat mampu memberi ruang tambahan kepada kuasa beli isi rumah, khususnya ketika tekanan kos sara hidup masih dirasai.
- Penjimatan bil elektrik meningkatkan kuasa beli dan memperbaiki aliran tunai isi rumah, membantu perbelanjaan barangan dapur dan keperluan asas.
- Langkah memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, meliputi sebahagian besar isi rumah terjejas oleh peningkatan penggunaan elektrik.
- Ia bersifat sementara, pengguna perlu tingkatkan kecekapan elektrik, manakala kerajaan perlu menyemak mekanisme dan mensasarkan bantuan demi kemampanan.
Pengarah Program MBA & DBA Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu relevan dalam tempoh jangka pendek, terutama ketika cuaca panas yang mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan isi rumah.
Beliau berkata, pengguna dengan penggunaan 800 kWj sebulan boleh menikmati penjimatan sehingga RM47.25, manakala penggunaan antara 600 hingga 750 kWj membolehkan penjimatan kira-kira RM33 hingga RM44 sebulan.
“RM47 itu mungkin nampak kecil secara individu, tetapi dalam konteks isi rumah ia tetap memberi tambahan ruang kepada kuasa beli dan boleh digunakan untuk membeli barangan dapur dan keperluan asas lain,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Beliau berkata, penjimatan itu memberi kesan secara langsung kepada aliran tunai isi rumah disebabkan pengurangan perbelanjaan bulanan.
Menurut Prof Dr Ahmed Razman, langkah berkenaan turut memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, sekali gus meliputi sebahagian besar isi rumah yang penggunaan elektrik mereka meningkat akibat cuaca panas.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan perlindungan itu sebagai bantuan sementara dan bukan penyelesaian struktur kepada isu kos sara hidup kerana ia hanya berkuat kuasa sehingga akhir Disember.
Beliau berkata, pengguna perlu memanfaatkan tempoh perlindungan berkenaan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik bagi mengurangkan kesan apabila struktur caj kembali berkuat kuasa.
“Pengguna perlu lebih bersedia dengan meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik, terutama penggunaan pendingin hawa, pemanas air dan peralatan elektrik berintensiti tinggi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan wajar menggunakan tempoh tersebut untuk menilai semula mekanisme perlindungan bil elektrik bagi tahun depan.
Katanya, tumpuan tidak seharusnya hanya kepada jumlah subsidi yang diberikan, sebaliknya memastikan bantuan disasarkan kepada isi rumah yang benar-benar memerlukan.
“Kewangan kerajaan dan kemampanan sektor tenaga perlu terus dipelihara supaya mekanisme perlindungan ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan bersasar,” katanya.