Belanjawan 2027: KPDN harap subsidi, bantuan rakyat dikekalkan

Datuk Armizan Mohd Ali / RTM

BATU KAWAN, 20 September- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Kementerian Kewangan (MOF) mengekalkan subsidi bahan api dan bantuan berkaitan sara hidup dalam Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minta pengekalan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi meringankan kesan kenaikan harga bahan api.
  • Memohon subsidi minyak masak dikekalkan dan program penyeragaman harga barang untuk Sabah dan Sarawak diteruskan.
  • Mencadangkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dikekalkan walaupun bukan di bawah kementerian kita.
  • Isu kos sara hidup akan diperincikan dalam mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 29 September.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu penting bagi membantu meringankan beban rakyat susulan peningkatan harga bahan api global yang memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Permintaan penting kita kepada MOF supaya subsidi bahan api, termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), dikekalkan. Begitu juga subsidi minyak masak dan program penyeragaman harga barang untuk Sabah dan Sarawak.

“Walaupun bukan di bawah kementerian kita, kita juga mencadangkan supaya sumbangan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dikekalkan kerana ia berkaitan dengan keperluan sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Jom Malaysia di Batu Kawan, Pulau Pinang, malam tadi.

Datuk Armizan berkata isu berkaitan kos sara hidup akan diperincikan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 29 September ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.