Jabatan Penjara tunggu pemakluman rasmi bertulis pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib


KUALA LUMPUR, 20 September – Jabatan Penjara Malaysia menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dokumen rasmi Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara.
  • Jabatan Penjara bersedia melaksanakan arahan rasmi mengikut undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur berkuat kuasa.
  • Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan bersyarat; baki hukuman dijalani di rumah hingga 23 Ogos 2028 dengan syarat termasuk denda RM50 juta.

Jabatan itu menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunggu pemakluman rasmi itu sebelum sebarang tindakan lanjut dapat ditentukan.

“Sebarang pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan akan disampaikan melalui saluran rasmi yang sewajarnya sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” kata Jabatan itu.

Jabatan Penjara Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan sebarang arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa berkenaan selaras peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang berkuat kuasa.

“Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti selaras peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, semua pihak diminta merujuk sumber rasmi dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pelaksanaan keputusan tersebut.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib dengan membenarkan baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 yang tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.