KUALA LUMPUR, 4 November - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah diarahkan untuk mengkaji kebolehlaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) kepada pekerja gig.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kerajaan komited melaksanakan reformasi menyeluruh dalam pasaran buruh bagi memastikan tenaga kerja dalam negara terus dilindungi dan diberi peluang latihan yang seimbang serta berdaya saing.
“Buat masa ini sememangnya SIP belum diperluas kepada pekerja gig. Namun saya mengarahkan PERKESO untuk mengkaji kebolehlaksanaan skim ini atau yang seumpamanya untuk perlindungan pekerja gig,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 846,907 orang telah mencarum bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) PERKESO.
290,122 orang daripadanya melibatkan e-panggilan dan p-panggilan dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas.
Skim berkenaan diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.