fb fb fb fb fb

Perjanjian Grid Kuasa ASEAN dijangka dimeterai Oktober ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Perjanjian pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN (APG) dijadual dimeterai negara-negara anggota menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN, Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia sekali gus menjadi langkah penting ke arah merealisasikan pelaksanaan penuh inisiatif itu di seluruh rantau ASEAN.

"Antara perkara utama yang akan diperincikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) itu termasuk pelan hala tuju, penyelarasan standard teknikal, peraturan antara sempadan, dan juga model perniagaan untuk pertukaran tenaga antara negara-negara ASEAN,"

"Jawatankuasa kerja di peringkat Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) akan mengumpulkan pandangan daripada semua negara, sebelum mencapai kesepakatan terhadap satu piawaian bersama untuk ASEAN," kata Datuk Seri Fadillah, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran awal Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Justeru, beliau berharap Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun hadapan akan meneruskan usaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya rangkaian tenaga serantau tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM