
GERIK, 25 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak meneruskan pemantauan terhadap seekor gajah liar jantan dewasa yang dipercayai Sulong Chalil, selepas dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu.
- PERHILITAN menggiring gajah kembali ke hutan dan meneruskan pemantauan dua kali sehari, siang dan malam.
- Gajah mengalami kecederaan kaki hadapan kanan, luka semakin kering menunjukkan tanda pemulihan serta masih mampu makan dan bergerak.
- Pengguna JRTB dinasihatkan memperlahankan kenderaan, tidak berhenti atau merakam gajah, dan hubungi hotline 1-800-88-5151 untuk aduan.
Pemantauan itu turut disusuli tindakan menggiring gajah berkenaan kembali ke kawasan hutan.
Menurut PERHILITAN, hasil pemantauan mendapati gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.
Bagaimanapun, keadaan fizikal dan tingkah lakunya adalah normal serta masih mampu makan dan bergerak dengan baik.
“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“Hasil pemantauan mendapati keadaan luka yang dialami semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“PERHILITAN telah mengambil tindakan menggiring gajah itu kembali ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.
“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam,” menurut kenyataan itu lagi.
PERHILITAN turut memperkukuh kesiapsiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan.
Sementara itu, sebagai langkah pencegahan, pengguna JRTB khususnya di sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan memperlahankan kenderaan, terutama dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di R&R berkenaan dari kedua-dua arah.
Mereka juga diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas PERHILITAN sekiranya berada di kawasan pemantauan serta tidak mengambil gambar atau merakam video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Sekiranya berdepan dengan hidupan liar termasuk gajah, pengguna jalan raya perlu peka dengan tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan jika hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau apa jua bentuk provokasi,” menurut kenyataan itu lagi.
PERHILITAN menegaskan sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa di lapangan dengan mengambil kira aspek keselamatan orang awam, pengguna jalan raya dan gajah berkenaan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.