
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Industri kreatif negara berpotensi memasuki fasa baharu menerusi Batik Seri MADANI dan Malaysia Film Industry Expo (MFIX), dua gagasan berimpak tinggi yang memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan, pengkomersialan karya tempatan serta pemerkasaan belia sebagai pemilik ekonomi kreatif.
- MBWP memberi sokongan penuh selepas pembentangan projek kepada Perdana Menteri semasa Majlis Perasmian Menara FINAS.
- Fokus membina jambatan daripada bakat ke pekerjaan dan daripada idea ke pasaran melalui kerjasama kerajaan, industri serta belia.
- MFIX dicadangkan sebagai hab ekosistem nasional, termasuk portal pekerjaan, latihan industri dan pitching hub untuk bakat muda.
- Batik Seri MADANI gabungkan teknik batik blok tradisional, reka bentuk kontemporari dan teknologi digital untuk melahirkan pembatik serta usahawan kreatif muda.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) Khairul Rizam Abu Samah berkata Batik Seri MADANI dan MFIX mendapat sokongan penuh pihaknya susulan pembentangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada Isnin.
Beliau berkata sektor kreatif mempunyai potensi besar untuk membina kerjaya berpendapatan tinggi dan memperkukuh identiti negara sekiranya belia diberi peranan sebagai pengusaha, pemilik harta intelek (IP) dan rakan strategik industri.
“Fokus utama kita adalah membina ‘jambatan’ daripada bakat kepada pekerjaan dan daripada idea kepada pasaran. Kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan belia akan memastikan ekosistem ini kekal mampan serta memberi pulangan ekonomi nyata kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Rizam berkata MFIX dicadangkan sebagai hab ekosistem nasional dan platform digital yang menghubungkan pencipta kandungan, juruvideo, animator serta penggiat teknikal belia secara terus dengan penerbit, pelabur dan pembeli kandungan antarabangsa.
Beliau berkata platform berkenaan turut merangkumi portal pekerjaan, latihan industri dan pitching hub bagi membantu bakat muda mendapatkan peluang dalam industri.
Sementara itu, Batik Seri MADANI merupakan inisiatif pemerkasaan warisan yang menggabungkan teknik batik blok tradisional dengan reka bentuk kontemporari, teknologi digital serta nilai teras Malaysia MADANI bagi melahirkan generasi pembatik dan usahawan kreatif baharu.
“Pendekatan ini berpotensi membuka ruang kepada lahirnya lebih ramai pembatik muda, pereka, usahawan kreatif dan pengusaha yang mampu membawa produk batik Malaysia ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Rizam berkata MBWP komited bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, FINAS, institusi pendidikan dan sektor swasta bagi merangka model pelaksanaan berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telus.
“MBWP percaya komitmen berterusan kerajaan akan mempercepat penterjemahan kreativiti anak muda menjadi perniagaan mampan yang menyumbang kepada masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.- BERNAMA