
PUTRAJAYA, 25 Ogos – Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyokong penuh titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya solat hajat diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.
- JPM menyokong titah Sultan Pahang supaya mengadakan solat hajat memohon agar jerebu di Sarawak pulih.
- Menteri Dr. Zulkifli menyeru semua masjid Wilayah Persekutuan dan umat Islam seluruh negara bersatu saf mengadakan solat hajat.
- Solat hajat dan doa berterusan digalakkan sebagai kewajipan, digabungkan dengan ikhtiar fizikal untuk lindungi keselamatan rakyat.
- Umat Islam diingatkan memelihara alam sebagai amanah, memperbanyak amalan soleh, memohon keampunan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menyeru agar semua masjid di Wilayah Persekutuan dan umat Islam di seluruh negara diseru menyatukan saf bagi memohon pertolongan kepada Allah SWT.
“Adalah menjadi kewajipan agama bagi kita untuk menzahirkan solidariti melalui pelaksanaan solat hajat dan doa secara berterusan.
“Gabungan ikhtiar fizikal serta keutuhan doa adalah senjata utama orang beriman kerana sesungguhnya tiada satu pun ujian yang diangkat melainkan dengan keizinan, rahmat dan kasih sayang Allah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau pada masa sama menggesa seluruh umat Islam mengambil iktibar atas ujian itu dengan memelihara alam sekitar yang juga amanah Allah, di samping sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan jiwa.
“Marilah kita memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan, mudah-mudahan Allah mengangkat ujian jerebu ini dan mengurniakan kesejahteraan serta udara yang bersih kembali kepada saudara-saudara kita di Sarawak,” katanya.
Sabtu lepas, Al-Sultan Abdullah menitahkan solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri Pahang dan bertitah doa serta ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, baginda hari ini turut bertitah agar rakyat sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang dilaporkan semakin buruk di beberapa kawasan.