
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan elektronik, My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.
- Siasatan dimulakan susulan laporan polis 7 Oktober berkaitan transaksi kewangan melibatkan kedua-dua syarikat.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
- Enam saksi telah diambil keterangan, dokumen diterima dan siasatan diteruskan; PDRM mengingatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan itu dimulakan susulan satu laporan polis yang diterima pada 7 Oktober lepas berkaitan transaksi kewangan hasil kerajaan melibatkan kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MyEG tersebut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, enam saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan beberapa individu lain akan dipanggil dalam masa terdekat. Dokumen-dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti sementara siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Rusdi berkata PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional berlandaskan peruntukan undang-undang.
Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan berdepan tindakan tegas selain mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.