
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan Belanjawan 2027 memacu pembangunan yang lebih mampan, adil dan seimbang seterusnya menjelmakan aspek kesejahteraan yang lebih terangkum.
- Belanjawan perlu membela rakyat, menangani kos sara hidup dan mengambil kira keutamaan negeri termasuk keselamatan sempadan Sabah dan Sarawak.
- Penyelarasan perancangan serta peruntukan berdasarkan keperluan sebenar, dengan fokus pada mutu penyampaian perkhidmatan awam dan infrastruktur.
- Pembangunan ekonomi negeri dan pelaksanaan projek disasarkan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
- Mesyuarat tekankan kepentingan kriptografi pascakuantum bagi memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara daripada ancaman siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibentangkannya ketika mengusulkan Belanjawan 2027 dalam kerangka Waad Nasional ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 hari ini.
“Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan persoalan turun naik harga minyak dunia.
“Belanjawan ini perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri, termasuk aspek keselamatan sempadan, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar turut menekankan bahawa penyelarasan perancangan serta peruntukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan dengan tumpuan diberikan kepada mutu penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri dan pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Selain itu, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 turut menyentuh kepentingan kriptografi pascakuantum dalam memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara bagi menghadapi perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.
Berhubung kebimbangan terhadap isu jerebu, Perdana Menteri berkata Indonesia telah diminta supaya mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani pembakaran terbuka yang menjadi punca jerebu rentas sempadan selain menjejaskan kesihatan rakyat, khususnya murid dan pelajar, serta mengganggu sesi persekolahan.