
CHINA, 19 Mei – Kerajaan Negeri Perak menerusi Perak State Development Corporation (Perak SADC) memeterai Memorandum Kerjasama Strategik bersama syarikat dari China, Shuifa Energy Group bagi meneroka pembangunan projek tenaga boleh baharu di negeri itu.
- Pelaburan awal antara RM180 juta hingga RM200 juta dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
- Pembangunan projek floating aqua-voltaic berkapasiti 30 MWp di Tanjong Tualang, gabungkan tenaga solar dengan aktiviti akuakultur mampan.
- Inisiatif memperkukuh agenda tenaga boleh baharu, membuka peluang perkongsian teknologi, sokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan rendah karbon.
Kerjasama tersebut dijangka membawa pelaburan awal bernilai antara RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun.
Majlis pemeteraian memorandum berkenaan berlangsung sempena Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke Shandong, China yang diadakan bermula 17 hingga 24 Mei.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik, khususnya dalam sektor tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Menurut beliau, fokus awal kerjasama melibatkan pembangunan projek floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjong Tualang yang menggabungkan penjanaan tenaga solar dengan aktiviti akuakultur secara mampan.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh agenda tenaga boleh baharu negeri, malah membuka peluang perkongsian teknologi, kepakaran dan inovasi dalam pembangunan industri tenaga hijau di Perak.
Kerjasama strategik itu dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negeri serta menyokong aspirasi Perak ke arah pembangunan rendah karbon dan mesra alam.