
KUALA LUMPUR, 11 Oktober -Penutupan sekolah boleh dipertimbang apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, dengan mengambil kira risiko kesihatan murid, faktor logistik dan operasi sekolah serta keadaan cuaca semasa.
- Penutupan sekolah boleh dipertimbang berdasarkan penilaian risiko kesihatan murid, faktor logistik dan operasi sekolah serta keadaan cuaca semasa.
- Kanak-kanak lebih mudah terjejas; aktiviti fizikal meningkatkan kadar pernafasan dan pendedahan zarah halus, memburukkan gejala pernafasan seperti asma.
- Bilik darjah dengan pengudaraan semula jadi masih membenarkan udara tercemar masuk; menutup semua pintu tingkap kurangkan pengudaraan dan risiko penyakit haba serta jangkitan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam & Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti , Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zawiah Mansor berkata, penilaian risiko turut mengambil kira tempoh pendedahan murid kepada jerebu sepanjang hari, termasuk ketika pergi dan pulang dari sekolah, waktu rehat serta semasa menjalankan aktiviti kokurikulum.
“Kanak-kanak secara umumnya lebih mudah terjejas kerana saluran pernafasan mereka lebih kecil dan jumlah udara yang disedut berbanding saiz badan adalah lebih tinggi.
“Keadaan ini menyebabkan mereka menyedut lebih banyak bahan pencemar udara berbanding orang dewasa. Ketika melakukan aktiviti fizikal seperti berlari dan bersenam di sekolah, kadar pernafasan mereka meningkat, sekali gus meningkatkan jumlah zarah halus yang memasuki paru-paru, “katanya kepada pemberita RTM.
Jelas beliau, jerebu mengandungi zarah halus yang boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru, sekali gus menyebabkan keradangan serta mencetuskan atau memburukkan gejala seperti batuk, sesak nafas dan serangan asma.
“Berada di dalam kelas juga tidak semestinya menjamin murid terlindung daripada pencemaran udara. Bilik darjah yang menggunakan pengudaraan semula jadi melalui pintu dan tingkap terbuka serta kipas masih membolehkan udara tercemar memasuki ruang pembelajaran.”
“Menutup semua pintu dan tingkap pula boleh menyebabkan bilik darjah menjadi panas serta mengurangkan pengudaraan.
“Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko penyakit berkaitan haba, termasuk kelesuan haba, selain memudahkan penularan penyakit berjangkit melalui udara apabila pengudaraan tidak mencukupi,” katanya lagi.