Suspek dikejar polis miliki senjata tajam, alat curi kabel dan dadah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober -Dua lelaki yang ditahan selepas dikejar polis di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Kelang di sini hari ini didapati memiliki senjata tajam, peralatan mencuri kabel dan dadah di dalam kenderaan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan kenderaan menemui parang, sabit, alat pembuka manhole dan bahan disyaki dadah.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan akta berkaitan pemilikan senjata, harta curi dan dadah.
  • Video tular menunjukkan polis dengan bantuan orang ramai mengejar suspek selepas mereka melarikan diri dan melanggar kenderaan awam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata kedua-dua suspek ditangkap semasa kenderaan jenis Isuzu Dmax dinaiki mereka berada di persimpangan Jalan Jelatek dan Jalan Taman Setiawangsa berdekatan stesen minyak Caltex.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menjumpai senjata berbahaya seperti sebilah parang dan sabit serta alatan mencuri kabel seperti alat pembuka manhole. Turut dirampas adalah bahan disyaki dadah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 bagi kesalahan membawa atau memiliki senjata berbahaya di tempat awam.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki atau membawa harta disyaki dicuri atau diperoleh secara curang dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan anggota polis dengan bantuan orang ramai mengejar kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri selepas melanggar kenderaan awam. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.