
KUANTAN, 11 Oktober – Operasi sebuah premis yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Lampan dan Sungai Gali di Raub, Pahang dihentikan serta-merta bagi mengawal pencemaran ke sungai berhampiran.
- Tindakan Majlis Daerah Raub diambil selepas aduan penduduk dan pemerhatian oleh Datuk Fadzli terhadap sungai serta premis terlibat.
- Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang mengambil sampel air dan menghantar ke Jabatan Kimia untuk analisis punca pencemaran.
- Premis diarahkan menghentikan aliran air dan mengambil langkah segera elakkan limpahan kolam takungan semasa hujan lebat.
- JPS merakam dron menunjukkan aliran ke Sungai Dong; JPS dan Jabatan Perikanan diminta menilai kesan dan sediakan pelan pemulihan jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, tindakan berkenaan diambil Majlis Daerah Raub selepas beliau menerima aduan penduduk serta meninjau keadaan sungai serta premis yang disyaki terlibat.
Katanya, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah mengambil sampel air berhampiran premis berkenaan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran.
Premis berkenaan juga diarahkan menghentikan aliran air ke sungai, selain mengambil langkah segera bagi mengelakkan limpahan daripada kolam takungan yang disyaki menjadi punca pencemaran, terutama ketika hujan lebat.
“Saya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub merakamkan video menggunakan dron dan berdasarkan rakaman tersebut, saya mendapati aliran air berkenaan sudah mengalir ke Sungai Dong.
“Sehubungan itu, saya meminta Jabatan Perikanan dan JPS turut menjalankan penelitian bagi mengenal pasti kesan pencemaran itu terhadap Sungai Dong,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, di sini.
Pada masa sama, JPS dan Jabatan Perikanan digesa meneliti kesan pencemaran terhadap Sungai Dong serta menyediakan pelan jangka panjang bagi memulihkan ekosistem sungai yang terjejas.
Tambahnya, punca sebenar pencemaran perlu disahkan menerusi analisis Jabatan Kimia sebelum sebarang kesimpulan dibuat.