
KUANTAN, 9 April – Nelayan bot Zon C2 bagi kawasan Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan berdepan dilema untuk turun ke laut ekoran kenaikan harga minyak diesel yang turut menjejaskan kos operasi mereka.
- Sekitar 450 bot Zon C2 berisiko kehilangan pendapatan; harga diesel RM6.72 menyebabkan kos operasi melebihi RM100,000 setiap turun ke laut.
- Wakil pengusaha Zarir Yaakob menyerahkan memorandum cadangan kepada kerajaan bagi mencari mekanisme terbaik membantu nelayan.
- Cadangan pengusaha ialah harga diesel RM2.50 seliter sebagai bantuan segera kepada nelayan Zon C2.
- Memorandum diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Negeri Sim Chon Siang untuk dibawa kepada Perdana Menteri.
Difahamkan, sekitar 450 bot nelayan Zon C2 mungkin kehilangan pendapatan sekiranya tidak turun ke laut dan harga diesel pada RM6.72 ketika ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos melebihi RM100,000 setiap kali turun ke laut.
Wakil Pengusaha Bot Zon C2 Zarir Yaakob menyerahkan memorandum cadangan kepada kerajaan bagi mencari mekanisme terbaik membantu nelayan mendepani cabaran berkenaan disamping memastikan bekalan hasil laut di pasaran kekal stabil.
“Cadangan daripada pihak pengusaha C2 ini adalah supaya Perdana Menteri dapat segera membantu dalam masa terdekat, dengan harga yang kami cadangkan iaitu RM2.50 seliter. Itulah harapan kami,” katanya.
Memorandum berkenaan telah disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang pagi tadi untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selepas mendengar luahan sebegini dan menerima memorandum yang diserahkan kepada saya, saya akan membawanya kepada Perdana Menteri.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat dan aman, serta kesusahan nelayan Zon C2 ini akan didengar oleh pihak kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, nelayan berkenaan turut berharap kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api dengan memperluas bantuan kepada nelayan Zon C2, sebagaimana dinikmati nelayan Zon A, B dan C1.