Lelaki Korea ditahan guna pas pengajian palsu

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 9 April – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seorang lelaki warga Korea Selatan berumur 49 tahun di Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini pada Rabu kerana menggunakan pas pengajian disyaki palsu untuk tinggal dalam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki disyaki dikehendaki di Korea Selatan berhubung penipuan bernilai 3.5 bilion Won.
  • Ditahan di kediaman bersama isteri warga China dan dua anak lelaki; seorang wanita Filipina turut ditahan kerana tiada dokumen pengenalan.
  • Semakan JIM mendapati mereka tinggal melebih masa dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam kenyataan memaklumkan, lelaki tersebut juga dipercayai dikehendaki di Korea Selatan kerana terlibat dalam kes penipuan berjumlah 3.5 billion Won.

“Lelaki itu ditahan semasa berada di kediaman bersama isteri warga China, dan dua anak lelaki.

“Dalam rumah sama, seorang wanita Warga Filipina, berumur 55 tahun, turut ditahan ketika membersihkan rumah, kerana gagal mengemukakan dokumen
pengenalan diri sah,” menurut kenyataan itu.

Semakan lanjut sistem JIM mendapati, lelaki Korea Selatan dan Wanita Filipina itu, tinggal lebih masa dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.