KUALA LUMPUR, 25 Disember - Kawal selia dan keselamatan ruang digital akan diperkukuh menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA).
Pengukuhan akta tersebut dilihat dapat membentuk budaya penggunaan digital yang lebih matang dan beretika dalam kalangan pengguna.
Demikian dinyatakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Abdul Hadi Abd Rahman.
Beliau juga menyambut baik mekanisme sistem pengesahan elektronik (eKYC), yang berupaya mengekang kewujudan akaun palsu yang sering digunakan bagi tujuan penipuan, buli siber dan jenayah digital.
"Pengukuhan akta ini memperlihatan kesungguhan kerajaan untuk bertindak dan tidak menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pengguna atau ibu bapa, sebaliknya mahu penyedia platform turut memainkan peranan mereka dengan lebih jelas.
''Akta ini juga penting untuk mengekang aktiviti penipuan, buli siber dan penyebaran maklumat palsu, sekali gus, menjadikan ruang dalam talian lebih selamat beretika dan bertanggungjawab untuk semua lapisan masyarakat.
"Pelaksanaan eKYC dapat membantu mengekang pembukaan akaun palsu yang sering digunakan untuk menipu, membuli, menyebarkan fitnah dan melakukan jenayah siber.
''Apabila identiti pengguna disahkan, seseorang akan berfikir dua kali sebelum menyalahgunakan platform kerana mereka tahu ada tahap kebertanggungjawaban terhadap tindakan dalam talian.
"Kebanyakan akaun palsu diwujudkan kerana pelaku mahu menyembunyikan identiti sebenar, tidak mahu dikesan dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita RTM.
Profesor Madya Dr Abdul Hadi turut berpandangan, pelaksanaan akta tersebut merupakan strategi yang realistik, terutama dalam mendepani cabaran jenayah siber yang semakin kompleks ketika ini.