KUALA LUMPUR, 29 Julai - Usahawan arus perdana harus menguasai kemahiran digital bagi memenuhi keperluan dan cabaran pasaran semasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pada masa sama,golongan itu perlu melengkapkan diri serta menguasai kemahiran asas keusahawanan bagi mempertingkatkan potensi dan strategi pengurusan kewangan, membina kesiapsiagaan dan daya saing yang mampan.
"Keupayaan usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan teknologi menjadi asas penting dalam memastikan perniagaan kekal relevan dan berdaya tahan serta berupaya berkembang dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama merasmikan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur di Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara.
Program seumpamanya dilihat akan membuka ruang strategik kepada usahawan untuk mendapatkan suntikan dana, latihan serta bimbingan holistik meliputi pembangunan kapasiti dan daya tahan perniagaan; khususnya dalam kalangan usahawan muda.
Malah, ia memberi impak besar kepada pemerkasaan komuniti usahawan, meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dengan memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan.
"Program seperti Bank Rakyat UNIpreneur berperanan menyemai minat dan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa agar mereka bukan sahaja mampu berdikari dan tidak hanya menunggu atau mencari pekerjaan sebaliknya mampu mencipta kerjaya melalui keusahawanan.
"Berlandaskan kejayaan ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memberikan sokongan penuh kepada program seperti ini. KUSKOP percaya, program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, malah menjadi pemacu ekonomi yang lebih inklusif dan saksama," katanya lagi.
Sejak dianjurkan empat tahun lalu, seramai 2,633 usahawan dan siswa asnaf menerima manfaat daripada program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur dengan sumbangan keseluruhan mencecah RM13.04 juta.
Pada tahun lalu, 80 pertatus usahawan daripada kedua-dua program mula menyimpan hasil jualan secara konsisten, manakala 76 peratus lagi berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.