KUALA LUMPUR, 23 Mac- Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) adalah bagi memastikan keberkesanan sistem itu sebelum penggunaannya diperluaskan.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, tempoh percubaan RFID yang dilaksanakan PLUS bagi membuktikan teknologi berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi di lebuh raya.
"Tempoh percubaan ini adalah kritikal untuk kita mengenal pasti pertama, dari segi teknologi; kedua, pentadbiran; ketiga, perundangan dan keempat dari segi kelancaran sistem yang ada dan tidak akan membebankan rakyat serta pengguna lebuh raya.
Jadi itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan juga kementerian," katanya ketika menjawab soalan tambahan senator Datuk Razali Idris.
(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab soalan tambahan senator Datuk Razali Idris di Dewan Negara)
Tambah beliau, kementerian sentiasa mengkaji dan meneliti pilihan yang sesuai bagi memastikan kemudahan pengguna dalam melaksanakan transaksi tol di lebuh raya.
Pengenalan teknologi ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem kutipan tol tanpa henti dikenali Aliran Bebas Berbilang Lorong (MLFF).
"Kerajaan sehingga kini tidak mewajibkan pengguna untuk bertukar kepada teknologi ini dan kadar harga bagi tag RFID adalah ditetapkan oleh pihak Touch n Go Sdn Bhd selaku pengedar sah yang menguruskan hal-hal berkaitan penjualan tag tersebut," jelas beliau.
Kementerian juga telah melaksana pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas serta penyelesaian terbaik berhubung kaedah atau teknologi yang akan diguna pakai dalam melancarkan proses pembayaran tol di lebuh raya.