fb fb fb fb fb

Penetapan cukai karbon dimuktamad selepas RUUPIN diluluskan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 November - Kadar cukai karbon bagi industri dijangka dimuktamadkan selepas Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) diluluskan di Parlimen, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menjelaskan bahawa RUUPIN akan menyediakan piawaian dan metodologi khusus bagi mengira pelepasan karbon setiap sektor sebelum kadar cukai ditentukan.

"Apabila kita sudah mengetahui jumlah pelepasan yang dikeluarkan dan mempunyai penanda aras yang jelas, barulah cukai karbon dapat dilaksanakan.

Syarikat yang menghasilkan pelepasan melebihi penanda aras akan dikenakan cukai, manakala hasil kutipan cukai itu pula akan digunakan untuk tujuan adaptasi serta menyokong inisiatif syarikat yang berusaha mengurangkan emisi,” katanya demikian kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) di sini, hari ini.

Menurutnya, antara sektor utama yang akan menjadi tumpuan pelaksanaan cukai karbon ialah industri besi, keluli dan tenaga, memandangkan sektor-sektor ini merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam Belanjawan 2026, cukai karbon dijangka diperkenalkan mulai 2026 dengan tumpuan awal kepada sektor-sektor berintensifkan tenaga berkenaan

Mekanisme pelaksanaan cukai karbon itu akan digubal selaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dan RUUPIN.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD