fb fb fb fb fb

Penerusan inisiatif My50 tingkatkan penggunaan pengangkutan awam

Foto Hiasan / Bernama

PETALING JAYA, 18 Oktober – Penerusan peruntukan inisiatif pas bulanan My50 yang diumum pada Belanjawan 2025 dijangka akan meningkatkan pengguna pengangkutan awam.

Ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan ia bukti kesungguhan kerajaan mentransformasi sistem pengangkutan awam negara bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.

"Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon, 250 bas elektrik akan diperolehi secara berperingkat mulai tahun hadapan. Langkah ini juga bertujuan memperkukuh kesalinghubungan ‘First Mile Last Mile'," menurut Prasarana menerusi kenyataan.

Selain itu, RM10 juta diperuntukkan bagi penambahan lorong bas khas sepanjang 47 kilometer di Jalan Ipoh, Jalan Cheras, dan Jalan Gombak, hasil kejayaan lorong bas di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang yang meningkatkan jumlah penumpang sehingga 20 peratus dan mengurangkan masa perjalanan.

Dalam pada itu, kemudahan van untuk murid ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran RM0.50 sen sehala akan turut disediakan oleh Prasarana.

Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Taman Melati.

Prasarana turut menyambut baik langkah kerajaan untuk menambah baik 100 hentian bas di Lembah Klang dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan dan swasta demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN