
KUALA LUMPUR, 14 Julai -Jumlah 12 pasukan yang bakal bersaing dalam saingan Liga Super musim 2026-2027 adalah relevan dan memadai, asalkan kesemua kelab bertanding berada dalam keadaan stabil daripada aspek kewangan serta pengurusan, demikian menurut pemerhati sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli.
- Utamakan kualiti kelab; pastikan kewangan dan pengurusan stabil agar tidak menjejaskan kredibiliti dan kelangsungan liga.
- Lebih baik mempunyai sedikit pasukan yang stabil daripada ramai tetapi berdepan isu tunggakan gaji dan pengurusan.
- Pastikan sumber dana komited bukan hanya berpotensi, serta patuhi kriteria lesen dan infrastruktur untuk jaminan musim penuh.
Beliau menyatakan keutamaan ketika ini bukanlah jumlah pasukan semata-mata, sebaliknya memastikan setiap kelab benar-benar bersedia mengharungi saingan sepanjang musim tanpa berdepan isu yang boleh menjejaskan kredibiliti liga.
“Kalau ada 12 pasukan tetapi kesemuanya tidak bermasalah, itu lebih baik. Tiada gunanya mempunyai jumlah pasukan yang ramai jika akhirnya timbul pelbagai isu seperti tunggakan gaji dan masalah pengurusan yang menjejaskan kualiti pertandingan.
“Bagi saya, biar sedikit daripada banyak tetapi akhirnya menimbulkan banyak masalah.
“Dua belas pasukan yang telah diputuskan oleh MFL adalah munasabah selepas mengambil kira pelbagai faktor,” katanya kepada RTM
Mengulas pengalaman lalu, Pekan berkata jumlah pasukan yang lebih ramai tidak semestinya menjamin kelancaran liga apabila terdapat beberapa kelab yang akhirnya gagal memenuhi tanggungjawab terhadap pemain dan pegawai.
Jelas beliau, terdapat pasukan yang pada awal musim memberikan pelbagai jaminan termasuk mendakwa sudah mempunyai penaja kukuh, namun realitinya perkara tersebut tidak dapat direalisasikan.
“Dulu kita pernah mempunyai lebih banyak pasukan, tetapi akhirnya timbul juga pelbagai isu terutama berkaitan tunggakan gaji.
“Ada pasukan pada awal musim memberi keyakinan bahawa mereka mempunyai penaja dan sumber kewangan mencukupi, tetapi akhirnya ia hanya tinggal janji.
“Kalau bercakap mengenai penaja, terdapat perbezaan antara sumber dana berpotensi dengan dana yang benar-benar komited.
“Banyak pasukan hanya mempunyai sumber dana berpotensi, sedangkan pelbagai perkara boleh berlaku sebelum musim tamat.
“Berbeza dengan dana yang komited atau sudah disahkan, ia lebih memberikan jaminan kelangsungan pasukan sehingga penghujung musim.
“Sebab itu, perkara paling penting sekarang ialah memastikan setiap kelab yang bertanding benar-benar berdaya saing, stabil dari segi kewangan dan mampu menunaikan tanggungjawab mereka sepanjang musim,” tambahnya.
Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan mengumumkan sebanyak 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-2027 yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Kelab yang telah mengesahkan penyertaan ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.
Baki satu lagi slot akan diketahui pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas First Instance Body (FIB) bersidang bagi menentukan status PDRM FC.
Kelab itu diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 untuk mengemukakan maklumat tambahan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.
Sekiranya PDRM FC gagal memenuhi syarat ditetapkan, Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu di tangga keempat dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk merebut slot berkenaan.
Selain itu, UM Damansara United FC yang menamatkan saingan di tangga keenam dan Bunga Raya FC di kedudukan ke-12 turut mengemukakan permohonan serta menyediakan dokumen untuk beraksi di pentas Liga Super.