
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengulangi pencapaian mara ke pentas akhir Terbuka Jepun tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama, hari ini.
- Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan Taiwan Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 21-9, 17-21, 17-21 dalam perlawanan 50 minit.
- Mereka menguasai set pertama 21-9 tetapi pasangan Taiwan lebih konsisten pada dua set berikutnya.
- Kekalahan menamatkan rekod bersih Pearly-Thinaah ke atas Yin Hui-Jhih Yun selepas tiga pertemuan terdahulu.
Pasangan yang berada di ranking ketiga dunia itu tewas mengejut kepada gandingan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 21-9, 17-21, 17-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 50 minit di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Pearly-Thinaah bermula cemerlang apabila menguasai set pertama dengan kemenangan 21-9.
Namun, pasangan Taiwan yang berada di ranking ke-12 dunia bangkit mempamerkan aksi lebih konsisten pada dua set berikutnya untuk mengesahkan kemenangan.
Kekalahan itu turut menamatkan rekod bersih Pearly-Thinaah ke atas Yin Hui-Jhih Yun selepas memenangi tiga pertemuan terdahulu.
Pasangan Taiwan itu akan berdepan wakil Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan pada pusingan kedua, Khamis ini.
Pada edisi tahun lalu, Pearly-Thinaah muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pentas akhir.