
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kejohanan Ragbi NRDP Kebangsaan 7 ‘s (Sebelah) Lelaki dan Wanita 2026 bakal menjadi platform mencungkil bakat baharu negara bagi mewakili Malaysia ke Kejohanan Asia Rugby Emirates Bawah 18 Tahun Sevens di Qingdao, China pada 5 dan 6 September depan.
- Kejohanan dikembalikan kepada KRM, menggunakan format negeri, melibatkan ahli gabungan; juara negeri mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
- Pertandingan berlangsung di UPM Serdang pada 25 dan 26 Julai dengan 32 pasukan U18, 16 lelaki dan 16 wanita.
- Penyertaan Pulau Pinang diurus KRM; kejohanan melibatkan ratusan atlet, pegawai dan 74 perlawanan, bertujuan mengasah pemain muda berdaya saing.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri berkata, kejohanan yang akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 25 dan 26 Julai itu menghimpunkan penyertaan pasukan dari seluruh negara selepas penganjurannya dikembalikan di bawah seliaan KRM.
Ujar beliau, penganjuran kali ini turut mengembalikan format pertandingan di peringkat negeri dengan penglibatan ahli gabungan KRM.
“NRDP ini turut melibatkan ahli-ahli gabungan di bawah KRM.
“Tahun lalu pertandingan dikendalikan di peringkat zon, namun apabila penganjurannya dikembalikan kepada Malaysia Rugby tahun ini, kita mengendalikannya di peringkat negeri.
“Pasukan yang muncul juara negeri akan mewakili negeri masing-masing di peringkat kebangsaan” katanya demikian pada Majlis Sidang Media dan Majlis Undian Kejohanan NRDP National 7s lelaki dan wanita 2026 di ibu negara.
Sebanyak 32 pasukan bakal beraksi pada edisi kali ini membabitkan 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bawah 18 tahun yang mewakili persatuan serta kesatuan ragbi negeri di seluruh negara.
Sementara itu, penyertaan pasukan dari Pulau Pinang pula diuruskan oleh KRM bagi memastikan negeri yang belum mempunyai persatuan ragbi aktif turut diberi peluang menyertai kejohanan tersebut.
Kejohanan itu dijangka melibatkan 416 atlet, 108 pegawai dan pengurusan pasukan, 28 pegawai perlawanan serta 35 pegawai teknikal, dengan keseluruhan 74 perlawanan dijadual berlangsung sepanjang dua hari pertandingan.
Beliau berharap kejohanan itu terus menjadi medan melahirkan lebih ramai pemain ragbi muda yang berdaya saing, berdisiplin dan mampu memperkukuh prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa.