
PUTRAJAYA, 13 Julai – ‘Raikan Perpaduan’ dipilih sebagai tema utama Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 di Malaysia pada tahun depan.
- Maskot 'Tuah' dipilih; imej wira moden, dinamik dan mesra, gabungan warna Jalur Gemilang melambangkan perpaduan dan kebanggaan negara.
- Persiapan tuan rumah merangkumi empat kluster; fasiliti hampir selesai, kini fokus pada penentuan jumlah sukan dan hal teknikal.
- Logo rasmi direka menggambarkan aspirasi menyatukan ASEAN melalui semangat kesukanan dengan identiti visual moden, dinamik dan mudah dikenali.
Manakala, ‘Tuah’ dipilih sebagai maskot rasmi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tema itu dipilih bagi mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi sumber kekuatan utama yang menghubungkan rakyat serta atlet di seluruh rantau ini.
“Kita punya tema iaitu ‘Celebrating Unity‘. Kita nak jadikan Malaysia ini sebagai satu platform, jambatan perpaduan antara semua negara-negara ASEAN dan kita mahu menghantar satu mesej yang begitu jelas iaitu mesej perpaduan kepada dunia secara keseluruhannya, ” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo, maskot serta tema rasmi Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menjelaskan, pemilihan maskot ‘Tuah’ mencerminkan semangat kebersamaan dengan reka bentuk diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati berbanding elemen haiwan sebelum ini.
Menurutnya, maskot itu juga menggabungkan warna Jalur Gemilang sekali gus menyemai semangat perpaduan serta menjadi lambang kebanggaan dalam kalangan atlet dan rakyat Malaysia.
Beliau juga berharap maskot rasmi itu mampu membawa tuah kepada kontinjen negara sekali gus membantu merealisasikan impian Malaysia muncul juara keseluruhan di laman sendiri.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq yakin persiapan Malaysia selaku tuan rumah yang melibatkan empat kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur berada pada landasan terbaik, khususnya dari aspek fasiliti.
“Di Malaysia sekarang ini dari segi fasiliti kita sudah hampir selesai dan kita sudah cukup bersedia dari segi fasiliti. Dan, sekarang ini lebih kepada penentuan jumlah sukan yang terakhir dan kemudian hal-hal teknikal dan sebagainya. Tetapi, berkenaan fasiliti kita memang sudah cukup bersedia untuk penganjuran kali ini. Insya-Allah,” jelasnya.
Menteri Belia dan Sukan itu juga yakin sasaran 70 peratus atlet negara menamatkan saingan di podium pada Sukan SEA 2027 seperti yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) mampu direalisasikan.
Sementara itu, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) memaklumkan logo rasmi temasya itu direka bagi menggambarkan aspirasi Malaysia menyatukan ASEAN melalui semangat kesukanan.
Setiap elemen dalam logo tersebut mempunyai simbolik tersendiri yang saling melengkapi bagi membentuk identiti visual moden, dinamik dan mudah dikenali di peringkat antarabangsa.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, manakala Sukan Para ASEAN Ke-14 dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Oktober 2027.