Croatia tagih semula sentuhan Bilic

Bekas pemain pertahanan antarabangsa Croatia, Slaven Bilic dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Vatreni -Foto AFP

ZAGREB, 13 Julai – Slaven Bilic akan kembali sebagai ketua jurulatih Croatia menggantikan Zlatko Dalic yang meletak jawatan selepas skuad itu tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Slaven Bilic kembali sebagai ketua jurulatih Croatia menggantikan Zlatko Dalic yang meletak jawatan.
  • Dalic mengundur selepas Croatia tersingkir dari Piala Dunia 2026, tewas 1-2 kepada Portugal.
  • Dalam tempoh pertamanya Bilic catat 42 kemenangan, 15 seri dan lapan kekalahan dalam 65 perlawanan.
  • Beliau pernah mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris seperti West Ham, West Bromwich dan Watford; jawatan terakhir di Al-Fateh 2023-24.

Dalic mengumumkan pengundurannya minggu lepas susulan kegagalan Vatreni mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia apabila tewas 1-2 kepada Portugal.

Bawah kendalian Dalic, Croatia pernah muncul naib juara Piala Dunia 2018.

Bilic yang juga bekas pemain pertahanan Croatia, pernah mengendalikan skuad kebangsaan dari 2006 hingga 2012.

Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) memaklumkan, jurulatih berusia 57 tahun itu dipilih secara sebulat suara untuk menerajui pasukan kebangsaan.

Dari segi pencapaian, Bilic mencatat rekod lebih baik berbanding Dalic sepanjang tempoh pertamanya bersama Croatia dengan 42 kemenangan, 15 seri dan lapan kekalahan dalam 65 perlawanan.

Bilic turut pernah membimbing kelab Liga Perdana Inggeris seperti West Ham United, West Bromwich Albion dan Watford.

Pencapaian terbaik beliau bersama Croatia ialah mara ke suku akhir Euro 2008 sebelum tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti 1-3 kepada Turki.

Jawatan terakhir Bilic sebagai jurulatih adalah bersama kelab Arab Saudi, Al-Fateh bagi musim 2023-2024.

Sementara itu, bawah kendalian Dalic, Croatia yang diketuai Luka Modric muncul naib juara Piala Dunia 2018 di Rusia selepas tewas 2-4 kepada Perancis.

Selain membawa Croatia ke perlawanan Piala Dunia 2018, Dalic turut membimbing pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar serta ke pusingan 16 terbaik Euro 2020. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.