
SUNGAI PETANI, 14 Julai- Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Lencongan Timur/Taman Bandar Cendana, di sini pagi tadi.
- Mangsa, lelaki 49 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
- Siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu wanita 20-an membelok kanan dan dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
- Pemandu wanita dilaporkan cedera dan dirawat di Zon Kuning hospital; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu wanita berusia 20-an membelok ke kanan dengan melanggar lampu isyarat merah.
Beliau berkata tindakan itu menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian sisi kiri kenderaan berkenaan.
Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak dan terjatuh di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, pemandu wanita berkenan dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di zon kuning hospital sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.