
ALOR SETAR, 14 Julai- Polis menafikan dakwaan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sebuah sekolah di Kuala Nerang, Padang Terap, diculik dua lelaki tidak dikenali seperti yang tular di media sosial pada Ahad lalu.
- Pelajar mengaku memberi keterangan tidak benar selepas panik kerana tersilap masuk tandas perempuan.
- Pelajar ditemui selamat di Kota Putra selepas ditumpangkan beberapa penunggang motosikal.
- Dia pernah menjadi mangsa buli dan membuat laporan berkaitan kejadian pada 18 Jun lalu.
- Empat pelajar ditahan bagi membantu siasatan, dilepaskan jaminan; kes disiasat mengikut Seksyen 182, hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata siasatan mendapati pelajar berkenaan memberikan keterangan tidak benar berhubung kejadian itu selepas mendakwa panik kerana tersilap memasuki tandas perempuan di kawasan surau sekolahnya.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung dakwaan penculikan itu sebelum pelajar terbabit ditemui selamat di Kota Putra, Durian Burung.
“Dalam kes ini, pelajar berkenaan selamat dan tiada kejadian penculikan berlaku.
“Saya nasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan perkara yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan keresahan serta ketakutan kepada orang awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keterangan awal, pelajar itu mendakwa didatangi dua individu di hentian bas berhampiran Balai Bomba Kuala Nerang.
Dia juga mendakwa mata dan mulutnya ditutup, dipaksa masuk ke dalam kenderaan serta diikat tangan dan kaki.
Bagaimanapun, jelas Datuk Adzli, pelajar itu mengaku memberikan keterangan tidak benar.
Katanya, selepas kejadian tersilap masuk ke tandas perempuan itu, pelajar terbabit melarikan diri dalam keadaan panik sebelum ditumpangkan oleh beberapa penunggang motosikal dan akhirnya ditemui pihak polis
“Hasil soal siasat juga mendapati pelajar ini pernah menjadi mangsa buli dan kita dapati dia ada membuat laporan berkaitan kejadian itu pada 18 Jun lalu,” katanya lagi.
Susulan maklumat tersebut, empat pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari sekolah lama mangsa di Alor Setar ditahan semalam bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.
Kes berkaitan laporan palsu itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.