
ALOR SETAR, 14 Julai- Dua anggota polis ditahan selepas disyaki melakukan samun terhadap warga asing dalam dua kejadian berasingan di Padang Sera, Jerlun dan Jalan Langgar, Alor Setar, bulan lalu.
- Suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis, merampas kad UNHCR dan telefon keluarga warga asing, serta membuka anting isteri mangsa.
- Polis merampas kad kuasa PDRM, dua telefon bimbit, sepasang anting berwarna kuning keemasan, pakaian seragam polis dan sebuah motosikal.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan; hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata dalam kejadian pertama pada 27 Jun lalu, seorang anggota polis disyaki merampas wang tunai RM1,750 daripada sebuah rumah yang didiami warga asing di Padang Sera.
Beliau berkata dalam kejadian kedua pada 1 Julai lalu di Lorong Aman, Jalan Langgar, Alor Setar, seorang lagi anggota polis berusia 26 tahun ditahan selepas disyaki menyamun sebuah keluarga warga asing.
Menurutnya, suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama D9 IPK Kedah pada 2 Julai lalu.
Katanya, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum meminta kad UNHCR milik keluarga terbabit dan mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu gambarnya dirakam.
“Suspek turut membuka sepasang subang emas di telinga isteri mangsa sebelum beredar menaiki motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Polis turut merampas kad kuasa PDRM, dua telefon bimbit, sepasang anting-anting berwarna kuning keemasan, pakaian seragam polis dan sebuah motosikal.
Datuk Adzli berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman sehingga 7 Julai lalu bagi membantu siasatan.
“Anggota polis sepatutnya melindungi. Jika ada kesalahan, dia (suspek) sepatutnya membuat tangkapan, bukan menyamun,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.