
ALOR SETAR, 14 Julai- Sindiket mengeluarkan permit kerja serta kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah menerusi serbuan di sekitar Kulim, bulan lalu.
- 24 ditahan termasuk 19 warga Bangladesh, 4 etnik Rohingya dan seorang wanita tempatan, usia 20 hingga 52 tahun.
- Sindiket dikendalikan warga Bangladesh menggunakan beberapa syarikat termasuk pembinaan G7 untuk mengaburi pihak berkuasa; syarikat didaftarkan atas nama isteri.
- Dokumen palsu dijual RM80-RM250; polis rampas 40 pasport, 10 telefon, permit palsu dan 4 komputer riba; suspek utama masih diburu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata serbuan di empat lokasi itu membawa kepada penahanan 24 individu termasuk 19 lelaki warga Bangladesh, empat etnik Rohingya serta seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai dikendalikan seorang lelaki warga Bangladesh yang menggunakan beberapa syarikat termasuk syarikat pembinaan bertaraf G7 bagi mengaburi pihak berkuasa dalam urusan permohonan permit kerja warga asing.
“Dalang ini memiliki tiga syarikat iaitu syarikat kedai runcit dan sebuah syarikat pembinaan bertaraf G7. Kita percaya syarikat-syarikat ini ditubuhkan hanya sebagai alasan untuk mengesahkan atau membenarkan permohonan permit kerja asing kerana dia mempunyai syarikat yang layak. Ia digunakan untuk mengaburi mata.
“Warga asing ini juga berkahwin dengan wanita tempatan dan syarikat-syarikat tersebut semuanya didaftarkan atas nama isterinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.
Menurut beliau, sindiket terbabit dipercayai mengeluarkan permit kerja dan kad UNHCR palsu kepada warga asing yang membayar antara RM80 hingga RM250 bagi setiap dokumen.
Polis turut merampas 40 pasport, 10 telefon bimbit, satu permit kerja palsu serta empat komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dokumen berkenaan.
Datuk Adzli berkata seorang lagi suspek utama warga Bangladesh yang memiliki empat kedai komputer di Kulim, Sungai Petani dan Butterworth, Pulau Pinang melarikan diri dan sedang diburu polis.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan polis turut meneliti tindakan lanjut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).