KUALA LUMPUR, 2 April- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan penjawat awam yang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
Katanya, beliau tidak mahu penerima khabar gembira tersebut menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
"Kalau terima mesej daripada orang yang kononnya kawan kita, semak dahulu. Kalau dapat e-mel yang mengatakan klik pautan di sini atau muat turun aplikasi ini, tolonglah jalan buat."
"Tolonglah, jangan klik e-mel yang tidak dikenali," tegas Fahmi kepada pemberita semasa sesi latihan skuad KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam semalam.
Mengulas berkenaan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri, Fahmi berkata ia merupakan satu kejutan yang sangat baik selain memberi keceriaan kepada penjawat awam dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri minggu depan.
Fahmi juga berharap penjawat awam memanfaatkan bantuan tersebut dengan baik dan mencadangkan agar dapat menyokong peniaga di bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara.