KUBANG PASU, 26 September- Penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah disaran untuk berpindah sekiranya menerima arahan daripada pihak berkuasa.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, keengganan untuk berpindah akan menyukarkan kerja-kerja menyelamat jika berlaku kenaikan mendadak paras air banjir terutama pada sebelah malam.
Perkara itu disebabkan paras air di kawasan terjejas banjir masih menunjukkan trend peningkatan berikutan keadaan hujan sekejap sekejap.
"Saya sebagai Ketua Polis Kedah memastikan keselamatan keseluruhan penduduk di kawasan terjejas. Namun saya menasihatkan orang ramai untuk cakna dengan keadaan semasa.
"Saya faham apabila berada dalam situaasi seperti ini kita risau untuk meninggalkan kediaman kerana kita ingin pastikan ianya berada dalam keadaan selamat. Namun apa yang lebih penting, kita tidak mahu akan timbul permasalahan yang terjadi akan berbalik kepada pihak berkuasa," selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Changlun dan menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk terjejas yang ditempatkan di sini.
Dalam pada itu, penduduk kampung Paya Nong Mi Ibrahim Hanafiah berkata, kawasan penempatan itu terjejas teruk.
"Air dari sungai Laka Kampung Paya Nong Mi ini menyebabkan kami terpaksa mengalihkan barang. Banyak juga perabot rosak akibat banjir ini. Pukul 7.00 keluar dari rumah untuk ke PPS, ketika itu air banjir paras dada. Semalam paras betis sahaja," katanya.
Bagi Ahmad Hanafiah yang ditemui RTM berkata, "banjir tahun ini yang paling besar. Sebenarnya banyak kali juga banjir berlaku tetapi ini yang paling besar. Ini juga merupakan kali pertama pak cik ke PPS, sebelum ini tidak pernah lagi berpindah. Ruang rumah penuh dengan air."
Laluan yang menghubung kawasan sekitar Paya Nong Mi sehingga Matrikulasi Changlun juga ditutup kepada kenderaan ringan berikutan paras air Sungai Laka melebihi paras tebing dan melintasi jalan yang menghbungkan Pekan Changlun dan Ko'diang.
(Datuk Fisol Salleh)