Penduduk Malaysia rekod lebihan pendapatan pada usia 29 tahun

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA, 29 April – Penduduk Malaysia mula merekodkan lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan penggunaan pada usia 29 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • DOSM melancarkan Akaun Pindahan Negara (NTA) Malaysia 2022, menjadikan Malaysia pejabat statistik ketiga dunia menerbitkan NTA.
  • NTA menunjukkan corak kitaran hayat, dengan pampasan pekerja mencapai kemuncak pada umur 49 tahun.
  • Perbelanjaan per kapita purata ialah RM37,947; golongan 60 tahun ke atas mencatat perbelanjaan melebihi RM50,000.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik itu diperoleh menerusi terbitan Akaun Pindahan Negara (NTA) Malaysia 2022 dilancarkan buat julung kalinya hari ini.

“Tempoh lebihan hanya sekitar 26 tahun, dari umur 29 hingga 55 tahun. Jadi, amat penting untuk rakyat merancang kewangan dan simpanan bagi menghadapi fasa defisit di usia tua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan NTA secara dalam talian, di Dewan Anggerik, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini.

Statistik pendapatan itu turut memperlihatkan corak ekonomi mengikut kitaran hayat, dengan purata pendapatan buruh tahunan per kapita pada 2022 didorong peningkatan pampasan pekerja mengikut umur, dengan kemuncak pada usia 49 tahun dengan nilai RM48,379.

Pada usia sama, pendapatan bagi kategori bekerja sendiri turut mencatat nilai tertinggi iaitu RM13,042 per kapita.

Dari segi perbelanjaan, purata penggunaan per kapita ialah RM37,947, dengan golongan berumur 60 tahun ke atas mencatat perbelanjaan lebih tinggi iaitu melebihi RM50,000.

Sementara itu perbelanjaan isi rumah pula banyak disumbangkan sektor swasta, manakala sektor awam memberi sokongan bersasar khususnya dalam pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Penerbitan NTA itu menjadikan DOSM sebagai pejabat statistik kebangsaan ketiga di dunia yang menerbitkan laporan seumpamanya selepas Korea Selatan dan Colombia.

Rangka kerja itu diadaptasi daripada manual Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menganalisis kesan perubahan demografi terhadap corak pendapatan dan penggunaan masa hadapan.