
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengamalkan pendekatan struktur dan bukan struktur bagi memperkukuh pengurusan risiko banjir serta pengurusan sumber air negara.
- Pendekatan struktur melibatkan benteng, kolam takungan, rumah pam, ban sungai dan pemecah ombak untuk mengurangkan impak banjir.
- Pendekatan bukan struktur fokus pada garis panduan, pelan induk serta sistem ramalan dan amaran untuk membantu perancangan pembangunan.
- Program Ramalan dan Amaran Banjir menggunakan rangkaian siren, stesen hujan dan pemantauan paras air untuk meramalkan banjir dua hingga tujuh hari.
- Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam tingkatkan kesiapsiagaan komuniti mengenai paras amaran, paras bahaya dan tindakan ketika banjir, khususnya menjelang Monsun Timur Laut.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) JPS, Ir. Hanizan Deraman berkata, pendekatan struktur melibatkan pembinaan infrastruktur fizikal seperti benteng, kolam takungan, rumah pam, ban sungai dan pemecah ombak bagi mengurangkan impak banjir.
Menurut beliau, pendekatan bukan struktur pula memberi tumpuan kepada penyediaan pelbagai garis panduan, pelan induk serta sistem ramalan dan amaran banjir bagi membantu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan merancang pembangunan sesuatu kawasan.
Katanya, di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB), JPS mengoperasikan rangkaian siren, stesen hujan dan stesen pemantauan paras air sungai yang digunakan bagi menganalisis data serta mengeluarkan ramalan banjir sehingga dua atau tujuh hari lebih awal bergantung kepada lokasi.
“Di samping itu, kita ada yang melibatkan bukan struktur. Bukan struktur ini satu komponen untuk menyokong. Kita mempunyai pelbagai garis panduan yang diguna pakai untuk membantu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan merancang pembangunan sesuatu kawasan. Di bawah PRAB, kita ada siren, stesen hujan dan stesen paras air sungai untuk dibuat analisis serta meramalkan banjir dua hari atau tujuh hari ke hadapan,” katanya kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, JPS turut memperkasa kesiapsiagaan komuniti menerusi program Komunikasi, Pendidikan, dan Kesedaran Awam (CEPA) yang memberi pendedahan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir mengenai paras amaran, paras bahaya serta tindakan yang perlu diambil ketika berdepan ancaman banjir.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut.