
MARANG, 6 Ogos – Seramai 90 murid dari sembilan sekolah di daerah ini mengikuti program Eksplorasi Alam Kenegaraan yang menggunakan aktiviti luar bilik darjah bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
- JAPEN Terengganu gunakan pendekatan interaktif seperti aktiviti hutan, tugasan berkumpulan dan penghayatan sejarah berbanding ceramah.
- Pendekatan berasaskan pengalaman dipuji sebagai lebih praktikal untuk menarik minat generasi muda.
- Peserta merasai ubi kayu rebus untuk menghayati kesusahan hidup masyarakat terdahulu.
- Program diperluas ke daerah lain dan dipergiat menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos bertemakan Malaysia MADANI.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Terengganu itu mengetengahkan pendekatan lebih interaktif berbanding ceramah, termasuk aktiviti menyusuri laluan hutan berbukit, tugasan berkumpulan dan penghayatan sejarah kemerdekaan.
Pengarah Penerangan Negeri Terengganu, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, pendekatan berasaskan pengalaman itu lebih praktikal untuk menarik minat golongan muda.
“Kita mahu menzahirkan rasa cinta generasi muda terhadap negara. Kita turut memasukkan elemen mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang yang dilancarkan Perdana Menteri di Ipoh pada 19 Julai lalu,” katanya.
Peserta turut berpeluang menikmati ubi kayu rebus bagi menghayati kesusahan hidup masyarakat terdahulu sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Ho Ben Kai berkata, aktiviti itu memberinya pengalaman merasai makanan yang sinonim dengan kehidupan masyarakat pada zaman dahulu.
Seorang lagi peserta, Nor Dayana Danisha Sharudin dari SMK Merchang berkata, program berkenaan membolehkannya mengenali tokoh dan sejarah negara dengan lebih dekat.
Marang merupakan destinasi ketiga penganjuran Eksplorasi Alam Kenegaraan sebelum program itu diperluas ke daerah lain di Terengganu.
Pelaksanaannya dijangka dipergiat menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.