
PUTRAJAYA, 6 Ogos – Label Keselamatan Hologram bagi peranti perubatan berdaftar diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperketat kawalan pasaran dan melindungi pengguna daripada produk tiruan serta tidak berdaftar.
- Meningkatkan kebolehkesanan, mengesahkan ketulenan dan memperkukuh integriti rantaian bekalan melalui pemantauan pasca pasaran.
- Inisiatif kesinambungan kepada sistem label keselamatan Farmatag sejak 2005, kejayaan membantu membanteras produk tiruan.
- Pelaksanaan berfasa dengan kerjasama MDA dan industri bagi memastikan akses kepada peranti berdaftar selamat; pengumuman rasmi pada 26 Ogos 2026.
Inisiatif yang akan dilaksan secara berfasa itu bertujuan meningkatkan kebolehkesanan produk, mengesahkan ketulenannya dan memperkukuh integriti rantaian bekalan menerusi pemantauan pasca pasaran yang lebih berkesan.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Ts. Dr Muralitharan Paramasua berkata, pelaksanaan label berkenaan merupakan kesinambungan pendekatan kawal selia KKM menerusi sistem label keselamatan hologram Farmatag bagi produk farmaseutikal sejak 2005.
“Kejayaan sistem itu membantu mengenal pasti produk berdaftar dan membanteras produk tiruan menjadi asas kepada peluasan inisiatif sama dalam sektor peranti perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Pelaksanaannya akan diteruskan menerusi kerjasama MDA dan pihak industri bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada peranti perubatan yang selamat serta berdaftar.
Malaysia juga akan terus memperkukuh ekosistem kawal selia peranti perubatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa agar setanding dengan negara maju seperti Jepun, Kanada, Australia dan Singapura.
“Usaha itu selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab industri peranti perubatan serantau menjelang 2030, selain merancakkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi,” jelasnya.
Pengumuman rasmi pelaksanaan label berkenaan akan disempurnakan Menteri Kesihatan sempena International Medical Device Exhibition and Conference 2026 pada 26 Ogos ini.