
PUTRAJAYA, 5 Ogos – Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun sempena Hari Kebangsaan.
- Tiada pengumuman rasmi mengenai tuntutan pemberian SARA seperti dipaparkan dalam poster tular.
- Orang ramai diminta tidak mempercayai atau menyebarkan poster tersebut kerana maklumatnya palsu.
- Dapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan sebelum berkongsi.
MOF menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, tiada pengumuman rasmi mengenai pemberian SARA seperti yang didakwa dalam poster yang tular.
”Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri kerana maklumat tersebut adalah PALSU,” jelas kementerian itu.
”MOF ingin menegaskan bahawa tiada pengumuman rasmi mengenai pemberian SARA seperti yang didakwa dalam poster berkenaan.
Menurut MOF, orang ramai disaran untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.