
KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus mengambil pendekatan yang seimbang dalam melindungi industri strategik negara serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan yang berdepan risiko geopolitik.
- Perkukuh ekosistem industri tempatan melalui NIMP 2030; tumpuan pada kepelbagaian sumber bekalan dan peningkatan daya saing.
- Manfaatkan perjanjian perdagangan seperti RCEP dan CPTPP untuk memperluas pasaran serta memperkukuh sumber bekalan strategik.
- Memajukan sektor strategik termasuk E&E, semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan dan tenaga boleh baharu; tingkatkan penyertaan PMKS.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata usaha memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang terbuka dan berdaya saing, turut dipergiat selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Pelan itu memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem industri tempatan, kepelbagaian sumber bekalan dan peningkatan daya saing ekonomi negara.
“Kerajaan memantau perkembangan geopolitik dan potensi risiko terhadap rantaian bekalan global khususnya yang melibatkan bahan mentah, komponen dan input kritikal. Industri turut digalakkan untuk mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana satu negara atau wilayah.
“Seterusnya, memanfaatkan perjanjian perdagangan bagi memperluas pasaran dan sumber bekalan. Kerajaan memanfaatkan rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara, hari ini.
Katanya lagi, dalam usaha memperkukuh ekosistem industri tempatan, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor strategik seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, ekonomi digital, aeroangkasa, kimia khusus, peranti perubatan serta tenaga boleh baharu.
Selain itu, penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan syarikat multinasional juga dipertingkat bagi memperkukuh keupayaan pembekal domestik.