
ATHENS, 30 Julai – Tiga anggota bomba terkorban manakala kira-kira 8,000 penduduk dan pelancong terpaksa dipindahkan selepas kebakaran hutan yang dicetuskan oleh tiupan angin kencang mengancam kawasan peranginan di pulau Crete, Greece, pada Khamis.
- Dua anggota bomba maut selepas terperangkap di laluan gunung berhampiran Krya Vrysi akibat perubahan arah angin mendadak.
- Seorang anggota bomba meninggal ketika operasi pemadaman berhampiran Gytheio di Peloponnese.
- Angin kencang sehingga 102 kilometer sejam menyukarkan operasi udara, menghalang pesawat mengambil air laut.
- Jabatan Bomba kerah 200 anggota dan 53 jentera ke Rethymno, sementara bot pengawal pantai termasuk aset Frontex bantu pemindahan di Agia Galini.
Dua anggota bomba maut selepas terperangkap di laluan gunung berhampiran kampung Krya Vrysi akibat tiupan angin yang beralih arah secara mendadak.
Sementara itu, seorang lagi anggota bomba dilaporkan rebah dan meninggal dunia ketika menyertai operasi memadamkan kebakaran berasingan berhampiran Gytheio di Peloponnese.
Insiden tragis itu berlaku ketika pihak berkuasa mengarahkan pemindahan berskala besar dari Agia Galini selepas api merebak satu kilometer dari kawasan kampung berkenaan.
Operasi memadamkan kebakaran bagaimanapun berdepan laluan sukar berikutan tiupan angin kencang mencecah 102 kilometer sejam yang menghalang sebahagian besar pesawat pemadam api daripada mengambil air laut untuk operasi pemadaman.
Bagi mendepani situasi terbabit, Jabatan Bomba telah mengerahkan seramai 200 anggota bersama 53 jentera ke kawasan Rethymno.
Empat bot peronda pengawal pantai, termasuk aset milik agensi sempadan Kesatuan Eropah (Frontex), disediakan di Agia Galini bagi menyokong proses pemindahan susulan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, melahirkan rasa simpati dan penghormatan setinggi-tingginya kepada ahli keluarga bomba yang terkorban serta seluruh pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus dalam insiden berkenaan.
Susulan ancaman krisis yang kian memuncak, Kementerian Perlindungan Awam meletakkan beberapa wilayah utama termasuk pulau Crete, kawasan metropolitan Athens, timur Peloponnese dan kebanyakan kepulauan Aegean pada paras amaran kebakaran tertinggi. – AFP