
CYBERJAYA, 28 Julai – Pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dalam negara memerlukan pendekatan menyeluruh bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
- AI Malaysia ditubuhkan sebagai platform mengumpul kepakaran, sumber dan kerjasama strategik untuk memperkukuh ekosistem AI.
- Institut merancang hala tuju AI negara, membangunkan dasar berkaitan dan memastikan pelaksanaan strategi berjalan berkesan.
- Penubuhan AI Malaysia susulan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan RMK13 tahun lalu.
- Intipati ialah menghimpunkan pakar supaya perbincangan pembangunan AI tidak tertumpu hanya kepada kerajaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata pendekatan itu menjadi asas kepada penubuhan AI Malaysia; yang disifatkan bakalu menjadi platform penting bagi menghimpunkan kepakaran, sumber dan kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan ekosistem AI negara.
Jelasnya, AI Malaysia akan membantu merancang hala tuju AI negara, membangunkan dasar berkaitan serta memastikan strategi sedia ada dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Jadi, sebab itulah kita membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah institusi yang dapat melihat secara menyeluruh apakah sebenarnya diperlukan negara bagi memastikan kita mempunyai ekosistem bersedia untuk menyokong visi Malaysia sebagai sebuah negara AI menjelang 2030.
“Intipati penubuhan Institut AI Malaysia ini adalah untuk menghimpunkan pakar-pakar serta sumber yang kita perlukan di Malaysia supaya perbincangan mengenai pembangunan AI tidak hanya tertumpu kepada kerajaan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Gobind berkata penubuhan AI Malaysia adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun lalu.