
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Program Pelawat Media Asing Malaysia (MFMVP) 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan majlis penutup yang meraikan 13 pengamal media dari 10 negara, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjasama media di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
- Tekanan pada kongsi nilai seperti integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam, menurut ucapan penutup kementerian luar.
- Peserta berinteraksi dengan RTM, BERNAMA, Petronas, Wisma Putra, MOTAC, MATRADE dan Parlimen; lawatan ke Kuala Lumpur dan Melaka pamer budaya dan sejarah.
- Perbincangan menumpukan hubungan diplomasi dan media, cabaran kecerdasan buatan serta pengaruh media sosial terhadap kewartawanan.
- Peserta berkongsi pengalaman positif: melukis batik, menikmati makanan, perspektif lebih luas, dan kagum dengan keharmonian pelbagai kaum.
Disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala), Kementerian Luar, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad, majlis itu menandakan kejayaan penganjuran sulung program berfokus media di bawah MTCP, yang sejak 1980 menjadi sumbangan Malaysia kepada kerjasama Selatan-Selatan.
Datuk Dr. Ahmad Faisal berharap elemen penting seperti integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam dapat dikongsi sepanjang program tersebut berlangsung.
Sepanjang 11 hari, peserta berpeluang berinteraksi dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, Petronas, Wisma Putra, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Parlimen Malaysia, selain lawatan ke Kuala Lumpur dan Melaka yang memperlihatkan kepelbagaian budaya serta sejarah negara.
Program turut membuka ruang perbincangan mengenai hubungan diplomasi dan media, termasuk cabaran teknologi kecerdasan buatan serta pengaruh media sosial terhadap kewartawanan.
Peserta dari pelbagai negara turut berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di Malaysia.
Peserta dari Bhutan, Soenam Tshomo, berkata beliau menyukai pengalaman melukis batik, selain menikmati makanan di Malaysia.
“Saya sangat menyukai pengalaman melukis batik. Saya seronok menghasilkan lukisan batik dan melihat hasil batik yang saya hasilkan. Saya juga sangat menyukai makanan di sini,” katanya.
Peserta dari Kenya, Joram Temesi Mukani pula menyifatkan program itu sebagai pembuka mata kerana memberi pandangan baharu tentang Malaysia serta peluang memahami rakyat dan budaya negara ini.
“Ini merupakan satu pengalaman yang membuka mata kepada kami, seramai 13 peserta dari 10 negara berbeza. Kini, pandangan kami terhadap Malaysia semakin luas dan positif.
“Kami lebih memahami masyarakat Malaysia serta keunikan dan potensi yang ditawarkan negara ini kepada dunia. Program pertukaran seperti ini sememangnya membantu memperluas perspektif serta meningkatkan pemahaman kami terhadap masyarakat dan budaya Malaysia,” katanya.
Sementara itu, peserta dari Rusia, Dimitrii Baranov pula berasa kagum melihat kepelbagaian bangsa yang dapat hidup bersama dalam suasana aman di Malaysia.
“Saya amat kagum apabila melihat kepelbagaian bangsa dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni di Malaysia.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta mengamalkan sikap toleransi yang tinggi. Saya percaya setiap negara boleh mempelajari pengalaman Malaysia dalam mengurus kepelbagaian ini,” katanya.