GEORGE TOWN, 2 Ogos- Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bacul rejim zionis yang melakukan pembunuhan, terhadap pemimpin dan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin.
Dalam hantaran pesanan media sosial kepada RTM, Mufti Pulau Pinang, Profesor. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman menyeru umat Islam agar terus berdoa kepada Allah SWT agar memberikan pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin seterusnya cita-cita menyaksikan Masjidil Aqsa dapat dibebaskan daripada cengkaman zionis.
"Kita tahu dengan pemergian Ismail Haniyeh, ia tidak akan mematikan semangat perjuangan umat islam terhadap isu Palestin."
"Zionis menganggap dengan membunuh satu tokoh dalam perjuangan Hamas untuk membebaskan Palestin ia akan terbantut, tetapi sebaliknya lebih ramai lagi 'Ismail Haniyeh' yang akan wujud untuk memperjuangkan Palestin kerana bagi umat Islam perjuangan isu tersebut merupakan isu akidah," katanya.
Beliau menambah, kekejaman rejim zionis bukan setakat disaksikan umat Islam di Palestin, malah masyarakat dunia dengan menyifatkannya sebagai kekejaman di luar batas kemanusiaan.
"Mereka melakukan apa sahaja termasuk pembunuhan, kerosakan sebuah negara dan mereka merampas kedaulatan negara serta menjadikan seperti milik mereka.
"Ini membuatkan dunia mula membuka mata termasuk bukan Islam untuk melihat betapa kekejaman zionis ini merupakan kekejaman yang sangat luar biasa pada zaman ini.
"Ia jugak akan meniup semangat yang lebih berkobar-kobar dalam kalangan umat Islam untuk menentang kezaliman yang dilakukan rejim zionis ini," katanya ketika dihubungi RTM.
31 Julai lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh akibat serangan udara di Iran.
Haniyeh berangkat ke Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian.